Manuskrip yang ditolak penerbit tidak semestinya tidak bagus. Malah ada di antaranya melebihi piawaian yang dimahukan oleh sesebuah rumah penerbitan.
Rumah penerbitan mempunyai segmen pembaca sasaran masing-masing. Setiap mereka mempunyai piawaian tertentu bagi menguji kebolehpasaran sesebuah karya. Buku yang diterbitkan melalui rumah penerbitan selalunya mempunyai nilai komersial kepada segmen pasaran tertentu. Hal ini bermaksud buku tersebut boleh dijual dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh rumah penerbitan.
Ya, ini bisnes.
Namun, janganlah anggap bahawa rumah penerbitan adalah pihak terpaling untung kerana mereka juga terpaksa menanggung kos-kos lain yang bukan sikit nilainya. Kos editor, pruf, pembuatan reka bentuk kulit buku, reka letak, cetak dan pengedaran memang tidak murah. Oleh demikian, jika penulis mahu mendapatkan untung ‘lebih’ selain royalti penulisan, penulis boleh memilih kaedah swaterbit.
Swaterbit bermaksud menerbitkan buku secara mandiri. Melalui swaterbit, penulis perlu menguruskan segala hal yang telah disebutkan tadi dan layak mendapat ‘upah’ lebih atas kerja-kerja yang telah dijalankan bagi menerbitkan karya mereka sendiri.
Mudahkan swaterbit?
Ya dan tidak.
Ya, jika kita sanggup menukar cara fikir bahawa swaterbit bukan sekadar menulis.
Tidak, jika kita hanya mahu fokus menulis.
Sebagai penulis swaterbit, anda perlu memiliki ilmu penerbitan dan pemasaran. Pelan tindakan swaterbit bermula daripada awal penulisan manuskrip sehingga buku sampai ke tangan pembaca. Berikut kami kongsikan proses yang terlibat dalam penerbitan buku secara swaterbit.